tetamu kehormat

Monday, August 29, 2016

Madah Bergetah

Suatu hari nan lalu, tika aku bertugas menjaga kelas sewaktu peperiksaan sedang berjalan. Semua pelajar kelihatan tekun menjawab kertas soalan Bahasa Inggeris tersebut walapun hakikatnya mata mereka sekadar merenung kosong kertas yang masih kosong. Pensel yang sudah diasah kelihatan masih tajam. Ada yang bernyanyi-nyanyi kecil sambil merenung ke luar jendela bayu pagi meniup lembut lihat bintang di angkasa purnama menerangi gelapku. Aku hanya duduk di bahagian hadapan sambil memerhatikan gelagat pelajar-pelajar yang terkadang menyentuh hatiku. Sambil itu aku melayari laman mukabuku mencari-cari aksesori menarik untuk tupai merah kesayanganku. Sekali sekala aku merenung tajam ke mata pelajar yang cuba untuk berbual-bual dengan rakan di sebelah mereka. Renungan tajam bersama raut wajah aku lemparkan mematahkan hasrat mereka yang kemudiannya disusuli dengan aksi berpura-pura menggaru kepala yang tidak gatal.

Memandangkan kedudukan kelas yang tidak jauh dari jalan, sesekali pandangan akan terarah keluar apabila ada kenderaan yang melintas. Tiba-tiba, terlihat sebuah lori dengan muatan kepingan getah melintas dengan agak laju. Anak mataku mengikut gerakan lori tersebut kerana sudah agak lama aku tidak melihat kelibatnya. Apa yang menjadi tarikan adalah bau kepingan getah yang pastinya diketahui oleh setiap insan di negara ini. Tatkala molekul-molekul bau getah tersebut menerjah rongga deria bau para pelajar, mereka secara spontan menutup hidung. Ada yang menggunakan tangan, ada yang menggunakan tudung, ada juga yang tertunduk menekup hidung. Aku hanya memerhatikan mereka sambil berlagak selamba tanpa menutup hidung. Aku sedar tugas seorang guru adalah sentiasa menjadi tauladan anak murid.
Serta merta aku teringat kehidupan keluargaku sebelum ini. Ibuku menoreh getah sebagai sumber pendapatan tambahan menampung perbelanjaan keluargaku. Duit hasil menoreh itulah yang telah membantu menanggung perbelanjaanku ketika bergelar pelajar. Aku sendiri pernah membantu ibuku mengutip susu getah, mengangkat gelen yang penuh berisi susu getah di bawah cahaya terik matahari. Aku pernah membantu mengangkat kepingan getah yang masih basah. Walaupun busuk, lama kelamaan aku terbiasa dengannya walaupun kelihatan menjijikkan bagi sesetengah orang.

Aku sedar kehidupan seperti itulah yang telah banyak mengajar aku erti kehidupan, memperlihatkan ketabahan ibu bapa mencari rezeki demi keluarga, memberi peluang aku merasai sendiri penat lelah yang dilalui mereka, dan menjadikan aku seorang yang lebih bersyukur atas setiap perkara yang terjadi. Aku berbangga kerana aku pernah melalui dan diberi peluang merasai hidup yang sungguh mencabar. Kini aku sangat bersyukur kerana sudah mampu menampung hidup keluarga. Ibu bapaku sudah boleh berehat di rumah tanpa berpenat lelah seperti dulu. Bagi aku, perkara seperti ini perlu didedahkan pada setiap generasi baharu.

Sekiranya pada waktu ini bukan waktu peperiksaan, pasti akan aku luahkan perkara ini kepada setiap pelajar tersebut agar menjadi dorongan dan contoh kepada mereka.
Sekian madah dari hati yang entah mengapa tiba-tiba menggunakan tatabahasa seperti ini.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi membaca..
Sudi-sudikanlah follow dan komen..
Anda semua memang baik.. ^_^