tetamu kehormat

Saturday, August 29, 2015

Restu Ibu


Dulu, aku pernah meninggi suara bila bercakap dengan ibu dan ayahku.
Dulu, aku pernah membantah arahan ibu dan ayah hanya kerana aku malas.
Dulu, aku pernah merajuk dan enggan bercakap dengan ibu dan ayahku, hanya kerana permintaanku tak dituruti.
Dulu, aku pernah memaksa ibu dan ayah membeli permainan kesukaanku, walau harganya bukan yang mereka mampu.
Dulu, aku pernah melakukan kesalahan besar hingga menitiskan airmata ibu, melukakan hatinya yang selama ini menyayangiku.
Dulu, aku pernah mengecewakan mereka, hingga ibu bermasam muka, menitis air mata, namun tidak pernah meninggikan suara.

Kerana aku telah lupa..
Mereka sentiasa memastikan keselamatanku sejak dari dalam kandungan hingga sekarang.
Mereka bersengkang mata menjagaku tika aku memerlukan.
Mereka tak pernah meninggikan suara kepadaku apabila marah, kerana itu cara didikan kepadaku.
Mereka sering memenuhi keperluanku, kerana itu tanggungjawab mereka.
Mereka cuba memenuhi kehendakku, kerana perasaan kasih kepada seorang anak.
Mengerah keringat mencari rezeki demi anak-anak, walau terpaksa meredah hujan lebat dan terik menghambat.
Sentiasa memohon doa demi kebahagiaan, kecemerlangan dan keselamatan anak-anak mereka.
Sentiasa berkorban demi anak-anak yang mereka kasihi dan sayangi.

Aku bersyukur, berterima kasih kepada Allah, kerana aku masih diberi peluang ini, untuk membalas jasa kedua ibu dan ayah, walau aku tahu, balasan itu tak akan setimpal dengan apa yang telah mereka korbankan.
Aku bersyukur, kerana Allah memberikan peluang untukku sedar, membuka pintu hatiku untuk kembali mengenang segalanya.
Aku berbangga, kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga yang bahagia.
Aku berbangga, walau keluargaku hidup sederhana, tapi kebahagiaan yang dikurnia sungguh indah.

Wajah ayahku tak menunjukkan rupa bengis. Bibir ibu sering menguntumkan senyuman manis. Walau hati mereka pernah terguris.
Itulah yang mendidikku agar lebih tahu apa erti kasih sayang dan hormat.
Itulah yang memberiku pengajaran atas kesilapan lalu.
Itulah yang mendidikku agar lebih berdisiplin.

Syukur ya Allah, aku masih ada ayah dan ibu, terus membimbingku hingga hari ini.Menjadi pendorong membakar semangatku.
Syukur aku diberi peluang untuk memohon kemaafan atas segala kesalahan dan kekhilafan lalu.
Syukur aku masih sempat untuk aku memperbetulkan diri, menebus kembali apa yang telah aku lakukan.
Sesungguhnya restu ibu dan ayah itu sungguh berharga.
Sesungguhnya doa dan redha ibu dan ayah itu mempengaruhi segalanya.
Kerana di sana terletak kunci kebahagiaan, kecemerlangan, keselamatan, dan kunci redha dari Allah SWT.

Kusampaikan salam, kukirimkan doa, kupohonkan agar ibu dan ayah sentiasa selamat dan dalam lindungan Allah. InsyaaAllah, aku tak akan meninggalkan lagi, kerana janjiku untuk menjaga.

*luahan dari hati, ditemani linangan air mata.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi membaca..
Sudi-sudikanlah follow dan komen..
Anda semua memang baik.. ^_^